PEKERJA kontraktor memindahkan tiang elektrik bagi memberi laluan kerja penimbusan tanah untuk melebarkan jalan sedia ada yang terbabit dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di kawasan Kimanis. FOTO Edmund Samunting
PEKERJA kontraktor memindahkan tiang elektrik bagi memberi laluan kerja penimbusan tanah untuk melebarkan jalan sedia ada yang terbabit dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di kawasan Kimanis. FOTO Edmund Samunting
Mohd Izham Unnip Abdullah


MESKIPUN pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah baru mencapai 22 peratus ketika ini, beberapa pakej pembinaan projek itu sebenarnya mencatat peratus siap yang tinggi dan mendahului jadual.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pakej Donggongon-Papar mencatat 61.65 peratus siap, diikuti pakej Batu 32-Lot M, Sandakan dengan 57 peratus.

Selain itu, beliau berkata pakej laluan Lahad Datu Bypass kini mencatat 34 peratus siap, manakala pakej laluan di antara Sindumin dan Kampung Melalia, Sipitang sebanyak 31 peratus.

“Pakej laluan Bongawan-Papar yang dilaksanakan kontraktor Pembinaan Kekal Mewah pula mendahului jadual sebanyak 0.55 peratus walaupun pencapaian fizikal sebenar baru 20.22 peratus.

“Saya sendiri akan memantau perkembangannya kerana setiap bulan saya akan melalui kawasan ini dari Kota Kinabalu ke Lawas untuk balik ke kawasan saya,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke Pakej Laluan Bongawan-Papar di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabaj, Edward Lingkapo; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Projek Oan Borneo, Ir Yapp Vun Khun; Jurutera JKR Papar, Sarinah Guriaman dan Pengarah Pembinaan Kekal Mewah Sdn Bhd, Jeremy Tan.

Laluan sepanjang 22.6 kilometer yang bermula dari Bongawan ke Kimanis dan Benoni, Papar itu adalah sebahagian pakej laluan Pan Borneo Sabah di pantai barat dengan kos pembinaan sebanyak RM560 juta.

Ketika ini, kontraktor bagi pakej itu sudah hampir selesai melaksanakan kerja pembersihan tapak dengan pencapaian semasa sebanyak 95.63 peratus, manakala kerja tanah mencapai 54.91 peratus.

Projek Pan Borneo turut dijadikan isu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis apabila pembangkang mendakwa projek itu terbengkalai selepas diambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Baru berkata Sabah turut terbabit dalam projek laluan Lebuhraya Trans Borneo yang menghubungkan Serudong di Kalabakan dengan Simanggaris di Kalimantan yang dihubungkan terus dengan wilayah Sarawak sebelum ke Long Pasia, di Sipitang.

“Fasa pertama projek itu dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan RM600 juta bagi pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong, termasuk kompleks kastam, kuarantin dan imigresen (CIQ),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 2:46 PM