GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosli Ilham


Chukai : Seorang lelaki ditahan ketika menawarkan rasuah kepada anggota polis bagi mengelak ditahan di persimpangan Kampung Air Putih, Jalan Jerangau Jabur Kemaman, petang semalam.

Suspek berusia 41 tahun yang beralamat di Pekan Pahang itu ditahan kira-kira jam 4.10 petang selepas menawarkan rasuah bernilai RM200.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, anggota polis terbabit bersama seorang rakan setugas melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu, kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, ketika itu, anggota terbabit ternampak suspek yang duduk di atas motosikalnya dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika menghampiri, anggota terbabit meminta butir pengenalan diri suspek dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berhubung penyalahgunaan dadah.

"Suspek juga gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan dan anggota terbabit memaklumkan untuk membawa suspek untuk menjalani saringan awal air kencing," katanya.

Hanyan berkata, menyedari keadaan itu, suspek tiba-tiba mengeluarkan sejumlah wang tunai dan menghulurkan kepada anggota terbabit sambil meminta kes itu diselesaikan.

"Bagaimanapun, anggota polis terbabit menolak pemberian itu dan beberapa kali memberi amaran kerana tindakan suspek itu salah di sisi undang-undang namun suspek tidak mengendahkannya.

"Suspek kemudiannya ditahan atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam sebelum suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 1:04 PM