SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan Polis
SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan Polis
Rosli Ilham


Kemaman: Warga Myanmar ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah tabung surau, masjid dan rumah sewa di Kampung Gong Pauh, semalam.

Suspek berusia 23 tahun itu yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan di tepi jalan di Kampung Gong Pauh, kira-kira 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, polis memerima laporan kehilangan dua tabung di perkarangan ruang legar Masjid Kampung Mak Chili dan ruang solat wanita oleh bilal pada 5.40 pagi.

"Polis mendapati pintu jeriji diumpil dan ketika kejadian kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi,"katanya.

Katanya, pemeriksaan polis turut menemui beberapa barang kes dan suspek mengaku memecah masuk Surau Kampung Jabor Kubur dan beberapa rumah dihuni warganegara Indonesia dan Myanmar di Kampung Gong Pauh.

"Bagaimanapun, bagi kes pecah masuk rumah terbabit, polis tidak menerima sebarang laporan," katanya.

Hanyan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 2:44 PM