ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai  pada sidang media di IPD Sentul. FOTO Hazreen Mohamad
ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai pada sidang media di IPD Sentul. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat dibelasah enam lelaki di sebuah pusat hiburan di Kepong, di sini, pada 28 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian 1.35 pagi itu, wanita warga asing berusia 40 tahun membuat laporan polis berkaitan teman lelakinya berusia 28 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika mereka berada di dalam kereta di parkir sebuah pusat hiburan.

Menurutnya, ketika wanita terbabit bersama mangsa di parkir belakang pusat hiburan itu, sekumpulan lelaki menarik dan terus memukul teman lelakinya sehingga menyebabkan berlaku pendarahan di kepala.

"Suspek kemudian melarikan diri selepas melihat mangsa cedera.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara teman wanita mangsa dengan suspek ketika berada di dalam pusat hiburan menyebabkan mereka mengekori wanita terbabit yang dijemput mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, mangsa mengalami kecederaan kritikal dihantar ke HKL sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 pagi, 30 Disember lalu.

"Susulan itu, polis dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat beberapa siri serbuan di lokasi berlainan untuk memburu suspek.

"Hasil serbuan, polis menahan enam lelaki berusia 20 hingga 24 tahun di Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh enam hari bermula 1 Januari hingga semalam," katanya.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, pakaian yang dipakai oleh suspek semasa kejadian serta beberapa dokumen berkaitan.

"Semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan manakala tiga lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Suspek ditahan reman sehingga 13 Januari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, daripada enam suspek itu, dua daripadanya adalah adik-beradik dan mereka berasal dari Johor dan ketika ditahan mereka sedang menyembunyikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 4:36 PM