HANTARAN di laman Facebook memaklumkan dua kanak-kanak didakwa ditinggalkan penjaganya di hadapan sebuah kedai runcit di pekan Bukit Sentosa, sebelum diambil ibu mereka di Balai Polis Bukit Sentosa. FOTO Ihsan pembaca
HANTARAN di laman Facebook memaklumkan dua kanak-kanak didakwa ditinggalkan penjaganya di hadapan sebuah kedai runcit di pekan Bukit Sentosa, sebelum diambil ibu mereka di Balai Polis Bukit Sentosa. FOTO Ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Dua kanak-kanak yang didakwa ditinggalkan di hadapan kedai runcit di pekan Bukit Sentosa hari ini, sudah diambil ibunya.

Kisah kanak-kanak itu berlegar di Facebook selepas seorang pengguna berkongsi maklumat yang meminta bantuan mengesan waris mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Ridzuan Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan kanak-kanak berusia tiga dan enam tahun itu pada 12.10 tengah malam.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat salah faham, yang mana orang awam di kedai makan berhampiran menyangka kanak-kanak tersebut ditinggalkan.

"Bagaimanapun, kanak-kanak itu hanya bermain berdekatan tempat ibunya bekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ridzuan berkata, kira-kira 30 minit selepas aduan diterima, wanita warga asing berusia 42 tahun yang juga pekerja pembersihan hadir ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk mengambil anaknya.

"Tiada laporan susulan diterima dan kes tiada unsur jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 9:02 PM