ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan seorang gadis yang cuba terjun dari Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan seorang gadis yang cuba terjun dari Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Anggota bomba berjaya memujuk seorang gadis yang mengalami kemurungan dari terjun dari Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah dekat sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, gadis berusia 19 tahun itu berjaya diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja.

Menurutnya, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.36 petang.

"Anggota BBP Jalan Raja yang tiba di lokasi mendapati wanita itu dilihat sedang berdiri di atas jambatan (bersebelahan tiang) dan dipercayai untuk terjun.

"Bagaimanapun, tindakan anggota kami menggunakan kaedah memujuk berjaya menyelamatkan mangsa dari bertindak di luar kawalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, gadis itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 5:34 PM