KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan BOMBA
KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO Ihsan BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


TIGA rumah di Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, kesemua penghuni rumah berkenaan berjaya melarikan diri keluar dari rumah berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 5.55 pagi berhubung kebakaran itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khairi Che Lah tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Setibanya di lokasi didapati api sedang marak menyebabkan tiga rumah itu terbakar.

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut membantu dalam operasi pemadaman ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 8:49 AM