Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Ketulan sebesar buah limau yang dikesan dalam perut Che Minah Mohamad ketika berurut rupanya ketumbuhan fibroid yang semakin membesar.

Ketulan di perut Che Minah, 54, sejak 2018 itu berjaya dikeluarkan dengan berat setengah kilogram namun deritanya tidak berakhir apabila sel ketumbuhan semakin mengganas.

Tidak sampai setahun selepas pembedahan, perut Che Minah dari Kampung Che Deris di sini, kembali membengkak seakan wanita mengandung sekali gus menyukarkan pergerakan ditambah perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan selama 24 jam.

Che Minah berkata, lebih menyulitkan lagi, kedua kakinya mengeluarkan titisan air dari liang roma dipercayai cecair dari dalam badannya hasil komplikasi ketumbuhan itu.

MOHD Firdaus membersihkan luka di betis ibunya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Che Deris di sini. FOTO Siti Rohana Idris
MOHD Firdaus membersihkan luka di betis ibunya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Che Deris di sini. FOTO Siti Rohana Idris

"Kedua betis saya perlu dibalut bagi mengelakkan pakaian basah dan dalam masa sama ia menyebabkan luka kerana tindak balas kain pembalut serta cecair yang keluar seakan peluh itu.

"Saya pernah bertanyakan kepada doktor sama ada boleh dijalankan pembedahan lain atau tidak tapi doktor memberitahu ia sangat berisiko dan dikhuatiri kehilangan banyak darah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu Che Minah menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang tampil menyerahkan tabung oksigen mudah alih, lampin pakai buang dan wang zakat.

Che Minah berkata, sudah lebih dua tahun dia tidak dapat tidur nyenyak kerana posisi yang tidak selesa disebabkan keadaan perut semakin membesar serta perlu dipasangkan tiub bantuan pernafasan.

Bekas tukang sapu di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kota Bharu itu kini dijaga anak tunggalnya, Mohd Firdaus Yusoff, 36, yang terpaksa berhenti kerja demi menguruskan ibu tercinta.

Mohd Firdaus yang sebelum ini bekerja di luar Kelantan berkata, setiap hari dia akan membersihkan luka di kaki ibunya dengan menyapu krim dan membalut kerana setiap masa betis wanita itu mengeluarkan air.

"Doktor juga memaklumkan sel ketumbuhan fibroid kembali mengganas dan kali ini ia merebak sehinggakan menjadi sukar untuk menjalankan pembedahan membuangnya.

"Dengan keadaan saya yang tidak dapat bekerja, kami terpaksa menggunakan semua wang simpanan yang ada serta sumbangan sanak saudara dan beban sedikit ringan kerana baru dua bulan kami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan emak," katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini, boleh berhubung dengan Mohd Firdaus di talian 0139538593.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 11:35 AM