Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Prihatin dengan nasib seorang lelaki yang terlantar akibat lumpuh selain menderita ketumbuhan di bahagian belakang, kumpulan aktivis masyarakat tampil membersihkan orang kurang upaya (OKU) terbabit.

Nik Mohammad Firdaus Nik Yusri, 21, dari Kampung Tok Ku Sering, di sini, sudah enam tahun lumpuh akibat jatuh kuda.

Selepas insiden jatuh kuda itu, keadaan Nik Mohammad Firdaus semakin teruk apabila menghidap ketumbuhan di bahagian belakang dipercayai akibat keadaan tulang belakang yang membengkok.

Mendiami sebuah bilik kecil yang agak berbau dan dia sendiri yang sudah beberapa minggu tidak dimandikan, sebaliknya hanya dilap tubuh dengan tuala basah, empat aktivis masyarakat daripada Cempaka Merah Asnaf Society tampil membantu.

Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed berkata, pihaknya sudah beberapa kali hadir menziarah Nik Mohammad Firdaus, selain menyerahkan sumbangan barang dapur dan sedikit wang tunai termasuk memandikannya.

"Firdaus tinggal bersama kedua ibu bapanya yang mana ibunya mengalami masalah kesihatan dan bapanya pula tidak mampu untuk mengangkat seorang diri.

"Ini kali keempat kami datang memandikan Firdaus kerana dimaklumkan sudah lama 'tidak kena air' dan dia sendiri tidak selesa dengan keadaan itu, namun tidak mampu berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nik Mohammad Firdaus dimandikan oleh sekumpulan aktivis mayarakat Cempaka Merah Asnaf Society di rumahnya di Kampung Tok Ku Sering. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Nik Mohammad Firdaus dimandikan oleh sekumpulan aktivis mayarakat Cempaka Merah Asnaf Society di rumahnya di Kampung Tok Ku Sering. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Selain dimandikan, kumpulan aktivis masyarakat itu turut membersihkan luka dan menyapu ubat di ketumbuhan belakang Nik Mohammad Firdaus yang sebesar bola takraw.

Che Norhayati berkata, setiap bulan dia akan mengunjungi Nik Mohammad Firdaus untuk menyerahkan sumbangan wang tunai amanah daripada seorang penyumbang yang diberikan sebanyak RM500 setiap bulan untuk kegunaan remaja terbabit.

Sementara itu bagi Nik Mohammad Firdaus sendiri, bantuan dan sumbangan yang diberikan itu sangat mencukupi baginya walaupun perlu kerap mengeluarkan belanja untuk membeli peralatan hariannya termasuk lampin pakai buang, krim luka, kain pelapik dan kain tampal luka.

"Semuanya saya beli menerusi dalam talian dan saya juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang memadai untuk perbelanjaan saya.

"Wang sumbangan yang saya terima sebanyak RM500 sebulan daripada seorang penyumbang juga saya serahkan semula kepada umi (Che Norhayati) untuk disedekahkan kepada asnaf lain.

"Saya terfikir jika rasa kita susah, mungkin ada lagi orang lain yang lebih susah dan tidak salah untuk saya berkongsi rezeki lagipun saya juga inginkan saham akhirat," katanya yang terpaksa berhenti sekolah ketika di Tingkatan Satu.

Kepada yang ingin membantu pemuda ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya iaitu 0320129000154472 atau menghubunginya di talian 01157198191.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 2:58 PM