NIK Ezanee Mohd Faisal (dari kiri) menunjukkan kenderaan yang di rampasan pada Sidang mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
NIK Ezanee Mohd Faisal (dari kiri) menunjukkan kenderaan yang di rampasan pada Sidang mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menumpaskan kumpulan samun yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam dikenali Gang Vasu selepas menahan lapan individu dalam beberapa serbuan berasingan di ibu negara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejayaan itu hasil penahanan seorang anggota kumpulanitu di Taman Teratai Mewah, Setapak dan soal siasat ke atasnya membawa kepada penahanan tujuh yang lain.

"Semua baki suspek berusia 20 hingga 40 tahun berjaya ditahan dalam beberapa serbuan di Desa Aman Puri dan Taman Ehsan, Kepong, kelmarin.

"Polis turut merampas empat kereta termasuk tiga yang dicuri terdiri daripada sebuah Suzuki Swift dan dua Proton Wira Aeroback serta sebuah Proton Perdana milik salah seorang suspek," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, tiga kereta curi itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan samun.

"Selain itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan berkenaan.

"Antara yang dirampas lima kunci kenderaan, 75 unit cermin mata dipercayai hasil daripada kegiatan pecah kedai serta sebuah televisyen dan sebatang besi kuku kambing yang digunakan untuk mengumpil mangga kunci,"katanya.

Katanya, siasatan mendapati, gang ini mendalangi sekurang-kurangnya tujuh kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Petaling Jaya dan dipercayai turut aktif di daerah lain termasuk Sungai Buloh.

"Siasatan mendapati gang ini aktif melakukan samun sejak Januari lalu dan mereka biasanya akan melarikan rokok dan minuman keras yang mudah untuk dijual semula.

"Semua suspek kini direman tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 5:51 PM