Mangsa maut di tempat kejadian. FOTO ihsan PDRM
Mangsa maut di tempat kejadian. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Anggota polis maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori yang rosak di Kilometer 445.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, dekat Rawang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang, Sarjan Dino Subono, 46, bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Cheras menghala ke arah Rawang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.

"Ketika pemandu mahu turun dari kenderaan selepas menghubungi mekanik untuk meletakkan tanda segi tiga, tiba-tiba datang motosikal ditunggang mangsa lalu melanggar belakang lori," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala pemandu lori tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 11:20 PM