MANGSA disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh menghala ke Rawang. -Foto NSTP
MANGSA disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh menghala ke Rawang. -Foto NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


KAKITANGAN wanita sebuah syarikat konsesi pelupusan sisa pepejal maut akibat terjatuh selepas motosikal dinaiki bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Rawang, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.35 petang itu, mangsa S Letchumy Subramaniam, 48, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketika kejadian, mangsa membonceng motosikal Honda Wave ditunggang rakan sekerjanya berusia 47 tahun dari arah Kuala Lumpur menghala ke Rawang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah lori menyebabkannya hilang kawalan. Mangsa yang membonceng dikatakan terjatuh sebelum digilis lori berkenaan.

“Pemandu lori terus beredar dari lokasi kerana dipercayai tidak menyedari kejadian.

“Tiada saksi di lokasi kejadian dan penunggang motosikal itu tidak sempat melihat nombor pendaftaran lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, penunggang motosikal itu dilaporkan hanya mengalami luka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di talian 012-2924420 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:58 PM