DATUK Idris Ahmad. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
DATUK Idris Ahmad. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Samadi Ahmad


Putrajaya: Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) akan berkuat kuasa Selasa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, Akta 814 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

Menurutnya, penetapan akta itu juga sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 27 Mei lalu dan ditandatangani oleh Setiausaha Jemaah Menteri pada 8 Jun.

Katanya, selaras dengan penguatkuasaan Akta 814 Badan Peguam Syarie (BPS) Wilayah-Wilayah Persekutuan ditubuhkan di bawah subseksyen 42(1) Akta 814 yang antara lainnya bertujuan menggalak dan menjaga kepentingan profesion guaman syarie.

"Penubuhan BPS ini adalah sama dengan penubuhan Bar Malaysia yang mengawal selia profesion guaman di mahkamah sivil.

"Saya berharap Akta 814 ini dapat memartabatkan institusi perundangan syariah dan memperkasa profesion guaman syarie melalui kawal selia profesion itu secara menyeluruh setaraf dengan profesion guaman yang dikawal selia di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166).

"Kewujudan Akta 814 ini juga diharapkan dapat meninggikan lagi kedudukan mahkamah Syariah serta mengarus perdanakan undang-undang syariah setara dengan undang-undang sivil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris berkata, selepas Akta 814 berkuat kuasa, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan dikawal selia di bawah akta ini.

Menurutnya, walaupun Akta 814 digubal bagi pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan, menjadi hasrat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya akta ini dijadikan undang-undang model untuk diterima pakai oleh negeri-negeri bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang berkaitan dengan profesion guaman syarie di Malaysia.

Idris berkata, menurut subseksyen 49(1) Akta 814, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah, selepas tamat tempoh 30 hari dan tidak lewat daripada 60 hari dari tarikh permulaan kuat kuasa berkenaan memanggil semua anggota Badan Peguam Syarie bagi suatu mesyuarat pada bila-bila masa dan mana-mana tempat yang akan ditetapkan olehnya untuk memilih 13 anggota Majlis Peguam Syarie yang disebut dalam perenggan 48(2)(b) Akta 814 dalam kalangan anggotanya.

Menurutnya, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jakim juga sedang melaksanakan gerak kerja untuk menganjurkan mesyuarat agung BPS pertama yang akan diadakan selepas habis tempoh 30 hari dari tarikh Akta 814 berkuat kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 10:26 PM