BERNAMA

Kuantan: Kes tipu merupakan penyumbang utama dalam peningkatan kes komersial di Pahang bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, dengan 801 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian sebanyak RM15.06 juta.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata jumlah itu meningkat daripada 623 kes dengan kerugian lebih RM12 juta bagi tempoh sama tahun lalu, menunjukkan kes jenayah komersial di negeri ini membimbangkan.

Secara keseluruhan, untuk tahun ini Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang menerima 843 kes setakat Mei lalu.

Selain itu, Ramli berkata statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang menunjukkan penurunan sebanyak 160 kes bagi tempoh sama iaitu 775 kes berbanding 935 kes pada tahun lalu.

"Nilai rampasan dadah setakat ini menunjukkan peningkatan iaitu dianggarkan bernilai RM793,925 jika dibandingkan dengan RM597,921 bagi lima bulan pertama tahun lalu," katanya pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Berdasarkan statistik itu, Ramli berkata lebih banyak operasi perlu dilakukan untuk mengurangkan dan membanteras jenayah narkotik di Pahang.

Pada ucapannya, Ramli juga mengingatkan kepentingan mengamalkan elemen integriti bagi memastikan perkhidmatan lebih profesional, beramanah, bertanggungjawab dan berkualiti tinggi diberikan oleh warga polis Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 4:30 PM