Asrol Awang

Kuantan: Remaja yang dipercayai memukul penghuni asrama anak yatim dan miskin hingga menyebabkan kematian, 20 Mac lalu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun pergaduhan di asrama.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf bagaimanapun berkata, pihaknya masih lagi menyiasat kes membabitkan remaja 16 tahun itu.

Katanya, siasatan sedang dilengkapkan dan suspek juga masih dalam tahanan reman sehingga 27 Mac.

"Berdasarkan siasatan awal, dia tiada rekod jenayah atau kes babit kanak-kanak di asrama terbabit.

"Saya juga tidak boleh mengulas lanjut kerana kes ini membabitkan kanak-kanak," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes, selepas Majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Ramli (depan, kanan) menyampaikan sijil sempena  peringatan Hari Polis Kontinjen Pahang. FOTO Asrol Awang
Ramli (depan, kanan) menyampaikan sijil sempena peringatan Hari Polis Kontinjen Pahang. FOTO Asrol Awang

Pada 20 Mac lalu, Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, 11, meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah remaja lelaki berumur 16 tahun.

Mangsa dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke atas lantai hingga tidak sedarkan diri ketika berada di bangunan surau asrama itu antara jam 3.45 hingga 4.15 petang.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, bedah siasat menunjukkan kematian mangsa akibat hentakan di kepala.

"Dalam kes ini, kematian bukan disebabkan dicekik atau sebagainya seperti yang dilaporkan sebelum ini, sebaliknya terhentak di kepala, namun siasatan masih diteruskan," katanya.

Berhubung kes kematian pengamal perubatan yang maut dengan kesan tembakan di sebuah rumah berhampiran Bukit Rangin Perdana 2 pada 4 April 2021, Ramli memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Menurutnya, setakat ini tiada petunjuk baharu, namun beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya memaklumkan kepada pihaknya untuk membantu siasatan.

Pada 4 April tahun lalu, Mohamad Abdul Rahim ditemukan maut dengan kesan tembakan sekitar 11 malam, berpakaian serba kuning dengan kesan darah kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 1:52 PM