Omar Ahmad


Johor Bahru : Seorang penganggur didakwa atas tiga pertuduhan amang seksual terhadap sepupunya pada 2015 hingga 2021 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh yang berusia 22 tahun bagaimanapun tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang pada ketika itu berusia 12 tahun.

Kesemua perbuatan itu dilakukan antara tahun 2015 hingga 17 Oktober 2021 di tandas dan bilik tidur di sebuah rumah di Gelang Patah, di sini.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama.

PENGANGGUR berdepan tiga pertuduhan amang seksual terhadap sepupunya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini. FOTO OMAR AHMAD
PENGANGGUR berdepan tiga pertuduhan amang seksual terhadap sepupunya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini. FOTO OMAR AHMAD

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew dan Nor Fadilah Johanuddin.

Manakala tertuduh diwakili peguam, R.Subash.

Terdahulu Chan tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun menawarkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah menetapkan jaminan.

Mahkamah menetapkan RM15,000 untuk tiga pertuduhan, selain melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap bulan, passport diserahkan kepada mahkamah dan larangan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tarikh 7 Julai depan ditetapkan sebagai pengurusan kes untuk penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 12:10 PM