Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama sesak berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti penggal persekolahan yang bermula hari ini.

Trafik dilaporkan sesak di pintu masuk utama Kuala Lumpur dan beberapa jalan utama di Kuala Lumpur.

Jurucakap Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) berkata, trafik dilaporkan sesak di Lebuhraya PLUS arah utara iaitu di Slim River ke Sungkai (kawasan bottle neck); Tapah ke Gopeng ( kawasan mendaki Gua Tempurung); Rawang Selatan ke Layby Rawang; Sungai Buloh (U) ke Sungai Buaya; Ipoh (U) ke Sungai Perak; Kuala Kangsar ke Changkat Jering; Bandar Baharu ke Jawi; Permatang Pauh ke Sungai Dua; Permatang Pauh ke Juru; Juru Auto City ke Plaza Tol Juru dan Ipoh (S) ke Simpang Pulai.

"Manakala bagi arah selatan pula aliran trafik dilaporkan sesak di Skudai ke Senai; Sedenak ke Simpang Renggam; Kajang ke Nilai; Seremban ke Senawang; Ayer Keroh ke Jasin; Yong Peng ke Yong Peng Utara dan Simpang Renggam ke R&R Machap.

"Bagi Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak trafik dilaporkan sesak dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi terus ke Bukit Tinggi dan sebelum masuk Plaza Tol Gombak arah Kuantan,"katanya ketika dihubungi hari ini.

KEADAAN di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak hari ini. FOTO Ihsan LLM
KEADAAN di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak hari ini. FOTO Ihsan LLM

Menurutnya, kesesakan dijangka berterusan di lokasi berkenaan terutama ke arah utara,selatan dan timur semenanjung sehingga tengah malam ini dan akan kembali reda selepas tengah malam.

"Trafik dijangka akan kembali sesak ke arah utara, selatan dan timur bermula jam 9.30 pagi hingga lewat petang pada 5 Jun ini.

"Manakala, pada 6 Junkesesakan dijangka berlaku di lokasi berkenaan dariarah utara, selatan dan timur menuju ke ibu kota kuala lumpur," katanya.

Katanya, jangkaan kesesakan ini adalah berdasarkan data dan rekod sedia ada dan juga trend kesesakan untuk musim perayaan dan cuti panjang sebelum ini.

Sementara itu, tinjuan di sekitar ibu negara mendapati hampir semua jalan-jalan utama mengalami kesesakan.

Trafik dilaporkan sesak di Lebuhraya Persekutuan; di Jalan Bangsar ke ibu kota, Jalan kuching dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Orang ramai mengambil peluang mengunjungi lokasi pelancongan di sekitar ibu kota sempena cuti penggal persekolahan yang bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 3:02 PM