Keadaan trafik di Karak dan Gombak pada malam ini. Foto Ihsan LLM
Keadaan trafik di Karak dan Gombak pada malam ini. Foto Ihsan LLM
Raja Noraina Raja Rahim

ALIRAN trafik masuk ke Lembah Klang mengalami peningkatan sejak tengah hari ini terutama bagi laluan dari utara dan pantai timur.

Ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan warga kota mula pulang dari kampung halaman masing-masing selepas menyambut Aidiladha.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laman Twitternya, @LLMinfotrafik melaporkan kesesakan dilaporkan berlaku dari Plaza Tol Gombak ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sejak petang hari ini.

Kesesakan berlarutan sehingga 8 malam dan setakat 10 malam ini, aliran trafik terus dilaporkan perlahan dari persimpangan Karak ke Plaza Tol Bentong seterusnya Bukit Tinggi ke arah Plaza Tol Gombak.

Pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad menerusi laman Twitter @LPT, melaporkan aliran trafik sesak lebih 26 kilometer (km) dari persimpangan Lanchang ke Karak.

Trafik turut dilaporkan perlahan lebih 17 km dari Plaza Tol Karak ke Bentong dan trafik turut perlahan lebih dua km menghala Genting Sempah.

Aliran trafik ke arah utara turut dilaporkan perlahan sejak tengah hari ini susulan pertambahan jumlah kenderaan dan keadaan itu berlarutan sehingga malam ini.

Sehingga 10 malam, laporan LLM menunjukkan trafik perlahan dari Gurun ke Sungai Petani, Bandar Baharu ke Alor Pongsu, Bukit Merah ke Taiping, Hentian Taiping ke Terowong Menora, Ipoh ke Hentian Simpang Pulai, Gopeng ke Sungkai dan Tanjung Malim ke Rawang.

Trafik juga perlahan arah selatan dari Jasin ke Ayer Keroh dan Simpang Ampat serta Hentian Pedas Linggi ke Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 10:43 PM