AMINUDDIN melihat perangkap kera dan babi hutan yang diserahkan kepada Perhilitan Negeri Sembilan. FOTO Ahmad Hasbi
AMINUDDIN melihat perangkap kera dan babi hutan yang diserahkan kepada Perhilitan Negeri Sembilan. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Konflik antara manusia dengan kera dan babi hutan adalah aduan tertinggi diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan pada setiap tahun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya memandang serius masalah itu kerana kehadiran haiwan itu turut mengancam keselamatan awam selain merosakkan tanaman.

"Di Negeri Sembilan sebahagian besar kawasannya adalah pertanian dan aduan yang banyak diterima ialah daripada pengusaha dan petani.

"Ia menyebabkan kerugian kepada golongan itu terutama pada musim buah-buahan sedangkan kos untuk memulakan operasi yang terpaksa mereka tanggung adalah tinggi.

"Difahamkan, masalah gangguan haiwan terbabit turut berlaku di taman-taman perumahan di kawasan bandar. Sebelum ini juga ada kes kanak-kanak yang dicederakan kera," katanya pada sidang akhbar di Perhilitan Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Aminuddin menyerahkan sebanyak 15 unit perangkap besar primat/kera dan 24 unit perangkap babi hutan dengan nilai keseluruhan RM120,000 bagi menangani permasalahan itu.

Beliau berkata, pejabat Perhilitan daerah Seremban, Bandar Seri Jempol dan Daerah Gemas akan menerima lima unit perangkap besar primat dan lapan unit perangkap babi hutan berkenaan.

"Ikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Perhilitan, haiwan yang ditangkap akan dilupuskan atau dipindahkan.

"Tetapi kita sedia maklum bukan mudah untuk menembak serta melupuskan haiwan terbabit dan buat masa ini penggunaan perangkap adalah langkah terbaik digunakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:53 PM