DR Raja Affendi (tengah) bertukar perjanjian bersama Ismail (tiga dari kanan) dan Dr Khairul Idzwan (tiga dari kiri).
DR Raja Affendi (tengah) bertukar perjanjian bersama Ismail (tiga dari kanan) dan Dr Khairul Idzwan (tiga dari kiri).
Fazurawati Che Lah


HOSPITAL Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melalui Fakulti Perubatan (FPER) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan penyelidikan baharu bagi menghasilkan pencuci luka khas yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka pesakit.

Kajian pencuci luka khas yang dijalankan bersama Cell Tissue Technology Sdn Bhd itu mempunyai nutrien yang diperlukan badan supaya proses penyembuhan berada pada tahap optimum dengan pengeringan luka seawal tujuh hari.

Ketua Unit Trauma dan Kecederaan Kaki, Buku Lali/Rawatan Kaki Diabetes, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HCTM, Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri berkata, penyelidikan itu bagi menghasilkan Novel Woundcare Solution yang dapat membunuh bakteria dalam luka pesakit diabetes atau kencing manis.

“Seperti yang kita sedia maklum, untuk penyakit kencing manis, penjagaan kesihatannya bermula dengan pencuci luka yang digunakan. Kita perlukan penjagaan optimum yang boleh mengatasi semua bakteria dan kuman yang ada pada luka itu.

“Sekarang ini pencuci luka yang ada di pasaran khusus kepada bakteria tertentu sahaja. Bakteria itu bercampur (dengan bakteria lain) dan agak sukar bagi melawan bakteria sehingga menyebabkan luka lambat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara UKM dengan Cell Tissue Technology Sdn Bhd dan NovaMedika Sdn Bhd, baru-baru ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali dan Pengarah Eksekutif NovaMedika Sdn Bhd, Ismail Ali.

Dr Mohd Yazid memberitahu, bagi mengatasi masalah itu (luka lambat sembuh), Jabatan Ortopedik HCTM mengambil inisiatif membangunkan satu pencuci luka yang mampu mengatasi semua permasalahan berkenaan bersama saintis yang mahir dalam bidang itu.

“Kita mengharapkan kajian ini akan dapat menzahirkan satu pencuci luka mampu melawan semua bakteria dengan harga yang murah.

“Dalam perancangan kami, pencuci luka dengan kandungan 300 mililiter yang mungkin boleh dipakai untuk dua minggu, akan dijual dengan harga kira-kira RM20. Bagi saya, orang ramai berkemampuan untuk mendapatkannya,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan itu akan berlangsung selama satu hingga tiga tahun dan pasukannya kini masih pada peringkat awal iaitu melakukan ujian terhadap beberapa pencuci luka yang ada di pasaran.

“Kami tengok pencuci itu dulu, apa sebenarnya kriteria yang ada untuk melawan bakteria dengan menggunakan kaedah ‘kejuruteraan songsang (berbalik).’ Dari situ, kami dapat melihat cecair lain, bagaimana ia bertindak.

“Kami lihat mana kelemahan yang boleh ditambah baik dan kami bangunkan satu pencuci luka lengkap yang boleh melawan semua bakteria itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Cell Tissue Technology Sdn Bhd, Dr Khairul Idzwan Baharin berkata, pihak industri sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan universiti dalam menjalankan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Untuk kerjasama ini, kita sangat berbesar hati kerana akan menghasilkan sejenis pencuci luka yang murah untuk merawat luka diabetes dan kita tahu masyarakat pun menantikan produk ini.

“Kerjasama ini akan diterjemahkan kepada mutu dan kualiti produk terbabit dan juga harga yang kita boleh tawarkan kepada pasaran nanti.

“Jadi, pada penghujungnya dengan adanya industri dalam kerjasama ini menunjukkan bahawa produk yang akan dihasilkan nanti berunsur dan berteraskan pengkomersialan.

“Kita tidak mahu produk ‘timbang kilo’ menguasai pasaran, sebaliknya kita perlukan produk yang berasaskan bukti, maksudnya produk yang terbukti selamat, berkesan dan berkualiti tinggi,” jelasnya.

Dalam majlis sama, UKM dan NovaMedika turut melancarkan kerjasama membangunkan aplikasi sistem telefon pintar iaitu Web Design bagi memudahkan pengurusan pengedaran ubat-ubatan.

Sistem aplikasi itu adalah sebagai perantara antara jurujual syarikat perubatan, pembekal, pesakit dan pegawai perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 10:04 AM