AYOB menunjukkan gambar suspek kes penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di Johor pada sidang media di IPK Johor, hari ini. FOTO ZAIN AHMED
AYOB menunjukkan gambar suspek kes penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di Johor pada sidang media di IPK Johor, hari ini. FOTO ZAIN AHMED
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seramai 13 individu termasuk ketua sindiket akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok, susulan tangkapan yang membawa kepada rampasan dadah terbesar di Johor bernilai lebih RM 320 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lapan daripada mereka akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lima pula mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Bagaimanapun, beliau berkata, empat daripada keseluruhan tangkapan iaitu 17 individu, sudah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.

"Polis terus mengesan suspek masih bebas dalam sindiket ini untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.

"Manakala Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pula akan ditahan di pusat pemulihan akhlak selama dua tahun dan perintah sekatan.

"Ada masyarakat awam tanya selepas polis membuat operasi besar-besaran, ada yang komen tangkapan ada tapi tidak ada pertuduhan, saya kongsikan bahawa polis bukan sahaja menjalankan operasi tapi akan pastikan mereka dituduh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor melancarkan 23 serbuan ke atas sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di Malaysia, selain membongkar lima stor penyimpanan dadah serta makmal memproses dadah, antara 8 hingga 17 Januari lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, seramai 17 suspek ditahan terdiri daripada 10 lelaki tempatan dan tujuh wanita tempatan berusia 17 hingga 62 tahun, selain sembilan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 1:43 PM