Oleh Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah membabitkan nilai rampasan hampir RM1.77 juta dalam tiga operasi termasuk serbuan ke atas kondominium di bandar raya ini yang dijadikan stor simpanan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan susulan operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sekitar daerah ini pada kira jam 3.30 petang kelmarin hingga 12.15 tengah malam semalam.

Katanya, serbuan pertama di kondominium berkenaan menahan sepasang kekasih warga tempatan berusia 21 dan 24 tahun serta merampas dadah jenis heroin, selain saringan air kencing mendapati seorang daripadanya positif THC dan terdapat rekod lampau berkaitan jenayah.

"Susulan itu, polis membuat dua lagi serbuan iaitu di unit berlainan sekitar kondominium itu dan di Perling sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun bersama rampasan dadah jenis heroin dan syabu.

"Saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis THC, selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Beliau berkata, rampasan dadah membabitkan 34.66 kilogram syabu bernilai RM 1.24 juta, 47.54 kilogram heroin bernilai RM558,663 yang boleh digunakan untuk 411,000 penagih.

Katanya, dua kenderaan turut disita bernilai RM40,000 dan semua suspek yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dan penjaga stor simpanan dadah itu direman selama enam hari bermula semalam hingga 15 Jun ini.

Ayob Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April tahun lalu disyaki mendapat bekalan dadah dari Thailand bagi pasaran tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan.

Sejak 1 Januari hingga 9 Jun lalu, JSJN Johor menahan seramai 5,995 orang atas pelbagai kesalahan dadah, selain membuat rampasan dadah sebanyak 6.75 tan bernilai RM 344.80 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 1:58 PM
Ayob Khan menunjukkan rampasan dadah ketika mengadakan sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Ayob Khan menunjukkan rampasan dadah ketika mengadakan sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI