FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Saudia Airlines (Saudia), syarikat penerbangan Arab Saudi telah menandatangani Penerimaan Tawaran Penerbangan Haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji bagi jemaah haji Malaysia selama tiga tahun.

Penerimaan Tawaran itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Saudia, Kapten Ibrahim Koshy, manakala TH pula diwakili oleh Pengarah Eksekutif, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Majlis menandatangani Penerimaan Tawaran ini telah diadakan di Jeddah Superdome, Arab Saudi dan disaksikan oleh Ketua Pengarah Saudia, Ibrahim Al Omar bersempena dengan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Ibrahim berkata, sebanyak 50 peratus jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh Saudia secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang

Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah.

"Saudia akan menggunakan pesawat Boeing B787-9 dengan kapasiti 298 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan dan pengalaman haji bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam pesawat," katanya dalam kenyataan.

Saudia memberi perhatian besar terhadap sektor haji dan umrah di mana satu jabatan telah ditubuhkan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik buat jemaah.

Ia juga berperanan untuk menarik kehadiran jemaah, memilih segmen permintaan perjalanan yang tinggi, bekerjasama dengan organisasi dan entiti luar negara yang mengendalikan urusan haji dan umrah untuk rakyat mereka, membuat jadual perjalanan dan menyelaras kelancaran pergerakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Saudi untuk kemudahan semua tetamu.

SEmentara itu, Syed Saleh berkata, TH ialah satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

"Tawaran kepada Saudia untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji untuk jemaah haji Malaysia daripada tahun 2022 hingga tahun 2024 sekaligus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

"Penyediaan penerbangan sewa khas ini adalah usaha berterusan TH dan menjadi antara persediaan awal TH bagi membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 8:00 PM