- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kertas siasatan berhubung kanak-kanak perempuan lapan tahun meninggal dunia disyaki didera ibu dan bapa saudaranya baru-baru ini akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara esok, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Mior Faridalathrash berkata, pasangan suami isteri masing-masing berusia 40 tahun itu kini direman enam hari lagi.

"Pasangan suami isteri yang juga penjaga kanak-kanak terbabit sebelum ini direman selama tujuh hari berakhir hari ini.

"Kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan esok untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan kes berkenaan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan, polis akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia disyaki didera ibu dan bapa saudara baru-baru ini, untuk memberi keterangan.

Terdahulu, media melaporkan, suami isteri ditahan susulan kematian kanak-kanak itu yang juga anak saudara mereka disyaki didera.

Penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada 3.14 pagi.

Berdasarkan laporan, seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada 1.45 pagi.

Selain itu, Siasatan polis juga mendapati suami isteri yang ditahan susulan kematian anak saudara mereka dipercayai akibat didera turut mendera adik lelaki mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 4:59 PM