Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pemandu kereta sapu memecut kenderaannya sejauh 11 kilometer sebelum berjaya ditahan sebaik menyedari 'penumpangnya' adalah seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Anggota JPJ Kelantan yang menyamar sebagai penumpang itu turun di Panji di sini, selepas menaiki kereta jenis Proton Persona di Terminal Bas Lembah Sireh pada 5.30 pagi hari ini.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, insiden itu berlaku ketika pihaknya menjalankan Op Sapu bagi mengekang aktiviti kereta sapu susulan satu video viral yang memaparkan pertengkaran mulut antara pemandu e-hailing dan pengusaha kereta sapu yang didakwa berebutkan pelanggan.

"Kami menjalankan operasi bermula 3 pagi dengan kekuatan 22 pegawai dan anggota menggunakan pendekatan secara penyamaran sebagai penumpang bas yang turun di Lembah Sireh.

"Terdapat satu insiden di mana seorang pemandu kereta sapu cuba melarikan diri hingga ke Pasir Pekan, Tumpat selepas anggota kami cuba merampas kunci keretanya sebaik turun dari kenderaan itu.

"Bagaimanapun, dia berjaya ditahan oleh sepasukan anggota kami yang sudah bersiap sedia dan mengejar kenderaan itu sehingga ke Pasir Pekan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, dalam operasi yang berakhir 9 pagi tadi itu, sebanyak empat notis saman dikeluarkan atas kesalahan salah guna lesen kereta motor di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya lagi, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya.

"Satu lagi saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 yang apabila disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

"Kami turut menyita empat kenderaan persendirian yang digunakan sebagai kereta sapu iaitu Proton Iswara, Persona, Perodua Bezza dan Toyota Avanza di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak memilih kereta sapu sebagai pengangkutan kerana ia tidak dilindungi insurans dan mengundang risiko jika berlaku kemalangan.

Katanya lagi, persaingan kereta sapu juga turut menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan e-hailing yang berdaftar secara sah dengan pihak berwajib.

"Operasi ini akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti kereta persendirian yang digunakan sebagai kenderaan pengangkutan awam secara tidak sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 2:11 PM
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah (tengah) melihat empat kenderaan persendirian yang dijadikan kereta sapu yang disita dalam Op Sapu di Lembah Sireh di sini, pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah (tengah) melihat empat kenderaan persendirian yang dijadikan kereta sapu yang disita dalam Op Sapu di Lembah Sireh di sini, pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS