Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang lelaki didenda RM3,000 selepas didapati bersalah membenarkan maklumat kelahiran palsu seorang bayi perempuan dua tahun lalu.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hisam Saruddin manakala tertuduh diwakili peguam bela, G Harbhajan Singh.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Ridzuan Chan yang juga pekerja kontrak didakwa kerana didapati membenarkan untuk dibuat catatan palsu dalam daftar kelahiran atas nama seorang bayi perempuan dengan pengetahuan yang sama adalah palsu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di bertempat di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan UTC Ipoh jam 11 pagi, 10 September 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menikut Seksyen 36 (1) (c) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Berdasarkan fakta kes, ia bermula apabila tertuduh bersama isterinya dan bayi berkenaan hadir di Klinik Ibu & Anak, Klinik Kesihatan Buntong selepas bayi itu mengidap penyakit kuning dan mendapatkan rawatan susulan.

Semakan jururawat mendapati pasport yang dikemukakan adalah milik orang lain dan seterusnya aduan dibuat ke Jabatan Pendaftaran Negara Perak untuk tindakan lanjut.

Kes ini dirujuk kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan untuk siasatan lanjut, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jelapang pada 1.44 petang semalam.

Hasil siasatan mendapati bayi perempuan berkenaan bukanlah dilahirkan isteri tertuduh tetapi rakan kepada isteri tertuduh. Pasangan ini berkahwin di Indonesia dan mempunyai seorang anak perempuan.

Kes terjadi apabila rakan kepada isteri Muhammad Ridzuan Chan, seorang wanita pendatang asing tanpa izin dari Indonesia melahirkan bayi di sebuah pusat perubatan pakar di Ipoh.

Tertuduh memberikan pasport Indonesia isterinya sebagai dokumen pengenalan diri buku rekod kesihatan ibu dan borang pengesahan kelahiran juga menggunakan maklumat pasport Indonesia isterinya.

Siasatan juga mendapati bayi berkenaan dijaga sehingga kini oleh tertuduh dan isteri serta mereka kononnya bercadang menjadikan bayi perempuan berkenaan sebagai anak angkat.

Tertuduh bersama kesemua dokumen sokongan hadir di JPN UTC Ipoh untuk mendaftar kelahiran bayi 'kedua' mereka dan petugas kaunter mengeluarkan satu sijil kelahiran atas nama seorang bayi dengan mengandungi maklumat palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:24 PM