GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang Jaya: Berang kekasih enggan berkahwin, seorang wanita disyaki mencuri pelbagai barangan rumah milik teman lelakinya itu dianggarkan bernilai RM30,000.

Difahamkan, wanita berusia 37 tahun itu menumpang di pangsapuri teman lelakinya di Pandan Perdana di sini, sebelum dia melarikan diri bersama barangan berkenaan, kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun, perbuatan suspek itu membawa padah apabila dia berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 54 tahun, 16 September lalu.

"Berdasarkan laporan, pengadu mengesyaki teman wanitanya membawa keluar beberapa barangan elektrik dan basikal dari rumah tanpa kebenaran pengadu membabitkan kerugian RM30,000.

"Pengadu ada menghubungi suspek dan dia mengaku mengambil kesemua barang berkenaan serta enggan memulangkannya semula," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan wanita terbabit di sebuah rumah di Kuala Lumpur kira-kira 1 pagi semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan elektrik dan basikal yang disyaki dicuri.

Katanya, semakan mendapati suspek yang juga penganggur itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Siasatan awal mendapati berlaku selisih faham antara pengadu dan suspek apabila suspek mengajak pengadu berkahwin. Suspek keluar rumah dengan membawa bersama barang milik pengadu," katanya.

Kata beliau, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 6:35 PM