Izzati dan keluarganya menghadiri rumah terbuka di Kuala Lumpur. FOTO ihsan Izzati Zaini
Izzati dan keluarganya menghadiri rumah terbuka di Kuala Lumpur. FOTO ihsan Izzati Zaini
Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Cuti umum sempena Hari Wesak, hari ini dimanfaatkan kebanyakan penduduk Lembah Klang dengan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri selain beriadah.

Rata-ratanya mengambil kesempatan memenuhi undangan itu memandangkan Syawal yang masih belum berakhir, sekali gus dapat mengeratkan silaturahim semasa ahli keluarga dan kenalan.

Meskipun terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas terutama di jalan utama ibu negara, ia sama sekali tidak menggugat keriangan untuk berkumpul dan menikmati juadah raya.

Penuntut institusi pengajian tinggi, Izzati Zaini, 25, yang tinggal di Batang Kali, Hulu Selangor berkata, dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika mahu ke rumah terbuka rakannya di Rawang.

"Kebetulan hari ini cuti umum, jadi banyak undangan rumah terbuka dan saya bersama keluarga cuba penuhi mana yang termampu.

"Ikutkan saya mahu luangkan masa berkumpul dengan ramai saudara-mara dan rakan kerana sudah lama tidak bersua. Cuma kesesakan lalu lintas menyebabkan masa terhad. Di kawasan rumah yang mahu dikunjungi pun sesak juga," katanya.

Khaleeda Farid, 24, pula memberitahu hari ini paling sesuai untuknya menghadiri rumah terbuka yang tidak sempat dikunjungi ketika hujung minggu.

Dia juga memuji langkah tuan rumah yang menyediakan jadual untuk kunjungan tetamu bagi mengelakkan sesak sama ada di laluan masuk rumah mahupun di dalam rumah.

"Contohnya, saya dijemput hadir pada jam 12 tengah hari, manakala tetamu yang lain diundang pada 2 petang," katanya yang beraya di Bangsar.

Bagi Allysya Rahimi, 32, dia dan keluarganya mengadakan rumah terbuka hari ini kerana cuti umum yang membolehkan tetamu hadir tanpa masalah.

Akauntan itu berkata, mereka cuba memastikan semua tetamu hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 meskipun negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

"Kami sediakan banyak kerusi di laman bagi mengelak sesak di dalam rumah dan meminta izin jiran sekiranya ada tetamu yang terpaksa meletak kenderaan di kawasan rumah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:36 PM