TUNKU Ismail mengadakan pertemuan dengan Rina Harun hari ini. FOTO Ihsan RPO
TUNKU Ismail mengadakan pertemuan dengan Rina Harun hari ini. FOTO Ihsan RPO
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tutup pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

Itu antara tiga langkah dicadangkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim bagi memastikan kes penderaan seperti berlaku kepada remaja sindrom down, Bella tidak berulang.

Cadangan itu diutarakan baginda dalam pertemuan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail di sini, hari ini.

Titah baginda, langkah lain adalah pindaan perundangan, penguatkuasaan dan kajian segera syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor.

"Pindaan perundangan dengan penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera.

"Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.

"Dari segi penguatkuasaan pula, JKM perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak yang diluluskan sedia ada.

"Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha/pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram," titah baginda dalam hantaran terbaru di laman sosial The Royal Johor, hari ini.

Titah baginda, cadangan ketiga, kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi bebas lain.

"Hasil kajian itu akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.

"Saya ingin menegaskan kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik," titahnya.

Kelmarin, Tunku Ismail menyatakan akan menghubungi Rina untuk menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan Bella.

Pada Sabtu lalu, nasib malang menimpa remaja perempuan sindrom down Bella, 13, turut menerima perhatian isteri TMJ, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Khaleeda menerusi perkongsiannya dalam akaun Twitter menyatakan akan berusaha bagi menuntut keadilan bagi Bella.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 8:14 PM