Kawasan jalan raya di sekitar Pekan Kuala Kedah yang digenangi air berikutan air pasang besar yang berlaku. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kawasan jalan raya di sekitar Pekan Kuala Kedah yang digenangi air berikutan air pasang besar yang berlaku. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
BERNAMA

Alor Setar: Kira-kira 300 rumah penduduk di Kampung Cina dan kawasan sekitarnya di Kuala Kedah di sini terjejas banjir kilat susulan air pasang serta hujan pada 12 tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.13 tengah hari namun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Pihak bomba hanya melakukan pemantauan di kawasan terlibat. Kesemua mangsa yang terjejas telah berpindah sendiri ke kawasan selamat," katanya ketika dihubungi.

Menurut jurucakap itu, berdasarkan maklumat terkini diterima pihaknya, paras air yang dianggar sedalam 0.3 meter itu mulai surut dan semua jalan boleh dilalui kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:22 PM