Antara motosikal dengan nombor pendaftaran 'fancy' yang dikesan dalam Ops Lejang di Plaza Tol Senawang, malam tadi. Foto ihsan JPJ
Antara motosikal dengan nombor pendaftaran 'fancy' yang dikesan dalam Ops Lejang di Plaza Tol Senawang, malam tadi. Foto ihsan JPJ
Ahmad Hasbi


Seremban: Ramai penunggang motosikal terutama golongan 'mat rempit' dikesan sengaja mengabaikan peraturan penggunaan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi ditetapkan.

Ini terbukti apabila majoriti mereka ditahan menerusi operasi Ops Lejang yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di susur masuk Plaza Tol Senawang, di sini, malam tadi.

Rata-rata mereka dikesan menggunakan nombor pendaftaran 'fancy' yang terlampau kecil atau sukar untuk dikenal pasti angka atau huruf sebenar.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjalankan operasi yang memberi tumpuan terhadap penunggang motosikal bagi mengekang aktiviti rempit.

"Dalam operasi ini, sebanyak 138 motosikal diperiksa dan kesemuanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk ubahsuai ekzos dan penggunaan nombor plat fancy. Sebanyak lima motosikal disita," katanya.

Hanif Yusabra berkata, ramai yang beranggapan penggunaan nombor pendaftaran yang mengikut spesifikasi tidak penting dari segi keselamatan jalan raya

"Dalam operasi ini kami menemui pelbagai jenis nombor plat yang menyalahi peraturan. Ada yang berkilat, ada hanya sebesar dua jari, malah ada juga pemilik motosikal yang berani menunggang tanpa mempamerkan langsung nombor pendaftaran.

"Jika berlaku kemalangan, ia akan menyusahkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sama ada pemilik motosikal yang melanggar atau dilanggar.

"Tindakan mereka juga seolah cuba mengaburi mata pihak berkuasa jika dikesan melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat atau melakukan aksi berbahaya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pemilik berdaftar juga akan diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).

"Mereka diberi masa selama 10 hari untuk hadir pemeriksaan di mana-mana JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan itu dibuat tindakan pembetulan dengan menukar nombor pendaftaran yang mengikuti spesifikasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 4:03 PM