KAKITANGAN LKTN memeriksa pokok kenaf di Majlis Projek Perintis 1KUR di Dataran Kenaf, Kubang Kerian.
KAKITANGAN LKTN memeriksa pokok kenaf di Majlis Projek Perintis 1KUR di Dataran Kenaf, Kubang Kerian.

Kota Bharu: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mencatatkan nilai jualan hampir RM1 juta bagi pasaran di China dan Thailand pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Mohd Adhan Kechik berkata, sebanyak 760 tan metrik gentian kenaf dieksport ke China manakala 20 tan metrik lagi ke Thailand.

“Jumlah eksport kenaf ke dua negara berkenaan akan dipertingkatkan memandangkan gentian kenaf mendapat sambutan baik kerana ia berkualiti tinggi.

“Ia akan diteruskan dengan kadar minimum 200 tan metrik sebulan dan usaha memperluaskan eksport ke China dan Thailand serta negara lain sedang dilaksanakan LKTN menerusi kerjasama syarikat swasta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis 1 Kenaf Untuk Rakyat (1KUR) dan Pelancaran eksport gentian dan teras kenaf di Dataran Kenaf di Kubang Kerian, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian jual beli gentian dan teras kenaf antara LKTN dengan syarikat Kenaf Fiber Malaysia Sdn Bhd bagi pembelian gentian premium dan Agro Greentech Sdn Bhd.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah LKTN Zulkifle Ali dan Ketua Pengarah LKTN Samsudin Noor.

Mohd Adhan berkata, dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat terutama mereka yang tidak mempunyai tanah untuk tanaman kenaf, pihaknya memperkenalkan 1KUR dengan memperuntukkan sebanyak 1,000 hektar pelaksanaan program berkenaan.

Beliau berkata, bagi menarik minat pengusaha menyertai program 1KUR, pihak LKTN menyediakan insentif dan jaminan belian balik hasil selain bekalan 1,000 tan metrik batang hijau kenaf setahun secara kredit kepada peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 6:19 AM