ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita OKU selepas rumahnya dilanda ribut di Jalan Lengkungan, awal pagi hari ini. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita OKU selepas rumahnya dilanda ribut di Jalan Lengkungan, awal pagi hari ini. FOTO ihsan BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Wanita orang kurang upaya (OKU) yang juga menghidap angin ahmar diselamatkan selepas rumahnya dilanda ribut di Jalan Lengkungan, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 40-an diselamatkan anggota bomba yang menerima panggilan kecemasan daripada ahli keluarga mangsa pada 3.38 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, sepasukan lima pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, didapati bumbung rumah wanita itu diterbangkan angin akibat ribut.

"Anggota kemudian segera mengangkat dan membawa keluar mangsa dengan menggunakan kerusi roda," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke lokasi selamat.

"Mangsa diserahkan kepada anaknya untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, beberapa kediaman dan premis perniagaan di sekitar Tanjong Karang terjejas akibat dilanda ribut dan angin kencang yang bermula kira-kira 2 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 2:41 PM