KEADAAN kereta yang terbalik melanggar pagar tadika. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN kereta yang terbalik melanggar pagar tadika. FOTO ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: "Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan keluar untuk mendapatkan kepastian. Didapati sebuah kereta dinaiki dua individu terbalik di pagar tadika dan mereka tersepit," kata saksi di Kampung Sungai Burong, di sini, hari ini.

Dia yang enggan dikenali berkata, kejadian 8.30 pagi itu membabitkan kereta yang melanggar pagar tadika.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat kira-kira 15 murid sedang mengikuti sesi pembelajaran di premis berkenaan.

"Saya difahamkan, pemandu kereta berjaya dikeluarkan orang awam manakala penumpang pula diselamatkan anggota bomba.

"Bagaimanapun, kejadian ini tidak melibatkan mangsa lain termasuk semua murid tadika tersebut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.36 pagi.

"Sepasukan empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang bersama jentera dikerahkan dalam operasi itu.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:27 PM