LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuching menjadi tumpuan penduduk Sarawak untuk balik semula ke Semenanjung dan Sabah selepas menyambut Aidilftiri bersama keluarga. FOTO Mohd Roji Kawi
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuching menjadi tumpuan penduduk Sarawak untuk balik semula ke Semenanjung dan Sabah selepas menyambut Aidilftiri bersama keluarga. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Ketika penduduk di Semenanjung terperangkap dalam kesesakan jalan raya untuk balik semula ke ibu negara selepas cuti berhari raya di kampung, penduduk negeri ini pula bersesak di lapangan terbang.

Tinjauan wartawan mendapati, jumlah pengguna di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) meningkat mendadak sejak Jumaat lalu berikutan ramai yang menaiki penerbangan untuk balik ke tempat kerja masing-masing.

Keadaan sama turut berlaku di dua lagi lapangan terbang utama di Sarawak iaitu di Sibu dan Miri.

Untuk rekod, terdapat lebih 30 penerbangan dari LTAK ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu setiap hari.

Jurucakap LTAK berkata, dianggarkan hampir 10,000 penumpang menaiki penerbangan setiap hari ke semua destinasi itu.

"Sejak Jumaat, berlaku kesesakan di lapangan terbang kerana orang ramai menghantar ahli keluarga mereka balik ke Semenanjung atau Sabah.

"Kesesakan di tempat letak kereta berlaku sejak Jumaat lalu sehingga memaksa ramai yang meletakkan kenderaan di bahu jalan.

"Keadaan di dalam terminal turut sesak, namun ia masih terkawal dan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak, walaupun banyak kelonggaran diberi sekarang," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang, Azeem Julaihi, 35, berkata beliau berpuas hati kerana berpeluang balik ke kampungnya di Samarahan untuk berhari raya bersama keluarga tahun ini.

Menurutnya, walaupun hanya berkesempatan bercuti selama seminggu, beliau gembira selepas dua tahun tidak dapat balik.

"Syukur alhamdulillah, selepas dua tahun, kali ini dapat beraya sepuasnya di kampung walaupun cuti hanya tujuh hari.

"Banyak dugaan sebelum dapat balik beraya kali ini seperti kesukaran mendapatkan tiket penerbangan dan tiket yang ada pula harga mahal, tetapi demi keluarga, saya balik juga tahun ini," katanya yang menaiki penerbangan ke Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 1:43 PM