LEE (tengah) menyambut penumpang penerbangan AirAsia yang tiba dari Shenzhen di LTAK, semalam.
LEE (tengah) menyambut penumpang penerbangan AirAsia yang tiba dari Shenzhen di LTAK, semalam.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia Bhd (AirAsia) melebarkan sayapnya di rantau ini dengan melancarkan penerbangan pertama dari Shenzhen, China ke Kuching, semalam.

Penerbangan sulung dari Shenzhen, China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, tiba pada jam 7.50 pagi.

Ketua Komersial AirAsia Spencer Lee berkata, penerbangan itu ialah sebahagian daripada pelan syarikat berkenaan dalam meningkatkan rangkaian penerbangan ke Malaysia Timur khususnya Sarawak.

Menurutnya, ia juga seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk membangunkan sektor pelancongan dan rangkaian penerbangan ke negeri ini.

“AirAsia sentiasa komited memperluaskan pasaran di Sarawak dan penerbangan terus ini menjadi bukti komitmen kami meningkatkan rangkaian penerbangan ke negeri ini.

“Sehingga kini, kami menerbangkan 4.8 juta pengunjung ke Sarawak dengan pelancong dari China dan Singapura berada dalam senarai lima negara teratas,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain penerbangan dari Shenzhen, China ke LTAK, AirAsia juga buat julung kali melakukan penerbangan sulung dari Singapura ke Bintulu yang tiba di Lapangan Terbang Bintulu pada jam 11 pagi semalam.

Katanya, pihaknya berharap pengenalan dua laluan baru itu menambah jumlah kehadiran pelancong ke Sarawak tahun depan.

“Kami percaya ia akan tercapai dengan sokongan berterusan yang diberikan kerajaan negeri dan pihak berkuasa pelancongan di negeri ini,” katanya.

AirAsia kini melakukan penerbangan ke 12 destinasi dari Kuching dengan jumlah 229 penerbangan sehala seminggu.

Selain Shenzhen, syarikat penerbangan itu juga terbang dari Kuching ke Singapura, Pontianak, Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Langkawi.

AirAsia juga terbang ke tiga destinasi dari Bintulu ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kuching dengan 39 penerbangan sehala seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 6:01 AM