Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Wanita yang ditinggalkan ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing di Kilometer 452 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah selatan tidak memaklumkan masalah dihadapinya dengan pemandu terbabit.

Pegawai Turus Penguatkuasa Zon Tengah A, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abd Razak ketika dihubungi Harian Metro berkata, wanita terbabit hanya memaklumkan telefon bimbitnya pecah ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nasyrul berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurutnya, wanita terbabit pada mulanya menghubungi pihak Plus memaklumkan dia berada di kawasan itu dan meminta bantuan untuk menghantarnya pulang.

"Pihak Plus kemudian menghubungi kami sebelum anggota saya bergegas ke lokasi kejadian. Wanita terbabit ditemui selepas susur keluar (Kilometer 452).

"Kami tidak pasti dia dari mana cuma dia memaklumkan ingin pulang ke rumah ibunya di Bandar Tasik Puteri Rawang. Atas rasa tanggungjawab anggota saya menghantarnya pulang," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang wanita ditinggalkan pemandu e-hailing ketika menggunakan perkhidmatan itu di tepi jalan tanpa diberikan sebarang alasan.

Bagaimanapun, wanita itu bernasib baik apabila dibantu anggota polis kenderaan peronda lebuh raya (EMPV), Koperal Mohd Jefri Yaakob yang kemudian menghantarnya pulang ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 3:47 PM