Ahmad Hasbi


Seremban: Satu rakaman tular memaparkan dua kenderaan beraksi umpama aksi dalam filem apabila berkejaran dan 'mencilok' kenderaan lain di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) antara Kilometer (KM) 269 hingga KM 238 arah selatan, 1 Mei lalu.

Bagaimanapun, tindakan berani mereka hanya sia-sia apabila kedua-duanya kini ditahan polis selepas tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya mengesan satu rakaman tular pada 8 malam 1 Mei lalu memaparkan kejadian kereta Audi A4 dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dipandu secara melulu dan berbahaya.

"Siasatan awal mendapati kejadian tular itu berlaku pada hari yang sama anggaran waktu sekitar tengah hari. Ia dirakam pengguna jalan raya lain.

"Kedua-dua kenderaan itu dipandu secara melulu dan berbahaya dengan aksi mengubah haluan secara tiba-tiba (zig-zag) dan memotong di lorong kecemasan," katanya kepada media hari ini.

DUA pemandu hadir menyerah diri. FOTO Ihsan Polis
DUA pemandu hadir menyerah diri. FOTO Ihsan Polis

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan rakaman yang diterima, pihak Risikan Operasi daripada BSPTD Seremban berjaya mengesan kedua-dua pemilik dan pemandu kenderaan yang terbabit dalam rakaman video berdurasi 1 minit 40 saat itu.

"Hasil siasatan mendapati suspek pertama yang memandu Audi A4 seorang lelaki berusia 36 tahun manakala suspek kedua yang memandu Toyota Wish adalah lelaki berusia 34 tahun.

"Suspek pertama hadir menyerah diri 9 malam 2 Mei manakala suspek kedua iaitu pemandu Toyota Wish pula hadir serah diri kira-kira 6.45 petang hari ini.

"Kedua-dua suspek bersama kenderaan ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Nanda berkata, hasil siasatan awal mendapati punca sebenar kejadian adalah disebabkan pemandu Audi A4 yang bekerja sebagai penarik kereta hendak menarik Toyota Wish yang dikatakan mempunyai hutang tertunggak selama beberapa bulan.

"Namun pemandu Toyota Wish enggan berhenti dan mengakibatkan berlakunya ketidakpuasan hati dan insiden itu berlaku antara kedua-dua suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

DUA pemandu yang dirakam melakukan aksi berbahaya dan tular di media sosial. FOTO Ihsan Polis
DUA pemandu yang dirakam melakukan aksi berbahaya dan tular di media sosial. FOTO Ihsan Polis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 10:52 PM