Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Wang simpanan hasil sewa rumah milik seorang wanita warga emas sebanyak RM1 juta lebur selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 67 tahun semalam mengenai penyamaran pegawai syarikat telekomunikasi terbabit.

Menurutnya, suri rumah terbabit menerima panggilan itu pada 15 Januari lalu yang mendakwa maklumat peribadinya digunakan oleh pihak lain untuk pendaftaran talian dengan syarikat berkenaan dan mempunyai tunggakan baki bayaran.

"Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan bahawa namanya terbabit dalam jenayah narkotik dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, kemudiannya dinasihatkan untuk membuat transaksi pemindahan wang berjumlah RM1 juta ke tujuh akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, mangsa cuba untuk menghubungi semula 'pegawai polis' terbabit selepas memindahkan wang itu namun gagal.

"Berasakan tertipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 8:17 PM