Lizam Ridzuan


NEXT Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Ducati di negara ini memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, tiga model itu Ducati Panigale V4, V2 dan Scrambler Icon Dark menambah barisan model yang ditawarkan kepada pasaran negara ini.

"Ketiga-tiga jentera ini mempunyai karakter berbeza buat mereka yang gemarkan kepantasan di litar serta mahukan cabaran dalam tunggangan.

"Selain itu kami juga meluaskan platform digital di mana motosikal Ducati juga boleh dibeli secara atas talian untuk keselesaan dan kelegaan kepada pembeli," katanya pada majlis pelancaran di Petaling Jaya, hari ini.

Rangkaian model Panigale adalah sports bike paling laris yang terjual sebanyak 8,000 unit di seluruh dunia dengan pegangan pasaran sebanyak 25 peratus.

Untuk model Panigale V4 2020 ia kini ditambahbaik serta lebih mesra pengguna melalui maklum balas dan data pelanggan serta diambil daripada teknologi perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia.

SCAMBLER Ducati
SCAMBLER Ducati

Panigale V4 dan V4 S dengan spesifikasi Ducati Corse dijana dengan enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale menjana 214 hp pada 13,000 rpm dan tork 214 hp pada 13,000 rpm.

Ia ditawarkan masing-masing pada harga RM132,900 dan RM172,000.

Model Panigale V2 melalui enjin 955 cc Superqadro dwi-silinder dengan beberapa ciri baharu seperti enjin yang ditambah tenaganya dengan kuasa kuda kepada 155 hp serta tork sehingga 104Nm. Sports bike ini dijual pada harga RM109,900.

Untuk model Scrambler Icon Dark, ia dipadankan dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) LED serta dilengkapi Sistem Multimedia Ducati (DMS).

Ia dijana enjin sejukan udara 803 cc Desmodromic L-Berkembar dijual pada harga RM49,900.

Segmen Scrambler diperkenalkan pada 1962 dan kembali dengan ciri baharu pada 2014 terjual lebih 55,000 unit dalam pasaran dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:09 PM