GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang guru wanita kerugian RM276,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macam Scam yang menyamar sebagai anggota polis pada 6 April lalu.

Wanita berusia 41 tahun itu hanya menyedari ditipu selepas membuat pemindahan wang ke beberapa akuan tidak dikenali sebelum membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, pada 6 April lalu, mangsa menerima panggilan dari Putrajaya mendakwa dia membuat pembelian ubat secara berlebihan di Klinik Komuniti Ipoh.

Katanya, panggilan itu kemudian disambungkan ke IPK Perak dan mangsa didakwa mempunyai kaitan dengan kes penipuan Tan Boon Huat yang sudah dipenjara.

"Individu yang menyamar polis itu mendakwa kad ATM milik mangsa berada di rumah suspek selain dia dituduh mengambil wang milik Boon Huan sebanyak RM273,000.

"Sebagai jalan penyelesaian, mangsa diminta memasukkan wang ke dalam beberapa akaun untuk disemak juruaudit negara.

"Bermula dari 11 hingga 29 April, mangsa membuat transaksi bayaran ke beberapa akaun yang diberikan melalui mesin ATM di Seremban dan secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata, selepas melakukan keseluruhan transaksi berkenaan, mangsa menghubungi pihak terbabit bagi bertanyakan kes berkenaan namun tidak berjawab dan merasa ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell di sini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa membuat pinjaman dengan beberapa institusi kewangan selain rakannya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 10:57 AM