MUHAMAD Zaki menyampaikan sumbangan pada program Penyampaian Rezeki Ramadan dan Majlis Iftar Ramadan bersama warga IPD Gua Musang di Dewan Tanjung IPD Gua Musang di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
MUHAMAD Zaki menyampaikan sumbangan pada program Penyampaian Rezeki Ramadan dan Majlis Iftar Ramadan bersama warga IPD Gua Musang di Dewan Tanjung IPD Gua Musang di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Polis Kelantan mencadangkan perantau yang akan pulang pada Aidilfitri ini menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) atau melalui Jalan Gerik, Perak bagi mengelakkan kesesakan di daerah itu.

Ia adalah susulan penutupan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis, bermula di hadapan Petronas Persiaran Raya Gua Musang sehingga ke bulatan Tanah Putih yang akan menyebabkan trafik dijangka mengalami kesesakan menjelang musim perayaan ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, walaupun terdapat laluan alternatif, namun pihaknya menjangkakan banyak kenderaan yang akan masuk ke negeri ini.

Katanya, bagi mengelak kesesakan pengguna boleh pulang ke Kelantan menggunakan LPT melalui Terengganu atau Jalan Gerik, Perak.

"Dengan adanya dua laluan itu keadaan kesesakan lalu lintas di Gua Musang akan terkawal.

"Pihak kami juga sedang meneliti dua laluan alternatif iaitu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

"Kemungkinan ada jalan alternatif yang orang dari luar tak tahu, tetapi orang tempatan kita tahu supaya dapat melancarkan lagi perjalanan. Kita berharap pengguna jalan raya bersabar dengan projek yang sedang berjalan kerana untuk mendapatkan kemudahan yang selesa memerlukan sedikit pengorbanan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penyampaian Rezeki Ramadan dan Majlis Iftar bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Dewan Tanjung IPD Gua Musang di sini, semalam.

Muhamad Zaki berkata, pihak IPD Gua Musang diarahkan untuk mencari kaedah termasuk mewujudkan laluan alternatif lain untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

"Saya minta Ketua Polis Daerah dan Bahagian Trafik IPD Gua Musang untuk mencari kaedah serta laluan alternatif yang lain untuk melicinkan lagi perjalanan pengguna jalan raya.

"Kita bersedia untuk menghadapi kemungkinan dua hingga tiga hari sebelum raya yang akan menyebabkan jumlah kenderaan bertambah.

"Tetapi saya tak mampu nak menjangka berapa banyak kenderaan akan masuk, tetapi pastinya Aidilfitri kali ini lebih ramai akan balik ke Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 8:55 AM