NORAZAM (empat dari kanan) bersama penerima Sijil Perakuan Bomba dan Skuad Bomba Tahfiz. FOTO Ruwaida Md Zain
NORAZAM (empat dari kanan) bersama penerima Sijil Perakuan Bomba dan Skuad Bomba Tahfiz. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan purata lima rumah terbakar setiap hari sejak awal Ramadan lalu sehingga kini di Selangor.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, setakat ini tiada sebarang kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh kebakaran terbabit.

"Sejak awal Ramadan sehingga kini, boleh dikatakan kira-kira lima rumah terbakar di seluruh Selangor setiap hari, siasatan mendapati antaranya kecuaian dan kelalaian diri sendiri (mangsa), contohnya memasak tetapi lupa menutup api atau penggunaan elektrik yang tidak dimatikan.

"Selain itu, ia juga berpunca dari litar pintas, penggunaan beban elektrik yang tinggi pada satu plug serta sambungan.

"Orang ramai dinasihatkan, apabila ingin balik kampung, pastikan punca elektrik dimatikan kerana ada kalanya kita lupa peralatan elektrik dalam keadaan 'standby', satu lagi lampu perhiasan untuk raya sebab kita tidak pasti ada kelulusan dan pengesahan Sirim pada peralatan itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Musim Perayaan di sini, hari ini.

Norazam berkata, bomba turut beri tumpuan kepada sembilan lokasi yang dikenal pasti kerap terjadi kemalangan maut dan cedera parah.

"Antaranya Kilometer (KM) 400 hingga KM 450 Lebuhraya Plus, Jalan Besar Tanjung Rhu - Tanjung Sepat, KM 25 hingga KM 40 Lebuhraya Elite menghala Utara, Jalan Sentosa - Sungai Choh Lebuhraya NKVE, KM 16 hingga KM 18 Lebuhraya SKVE dan lain-lain lagi.

"Ini adalah kawasan yang sering berlaku kemalangan, dan kita arahkan balai-balai melakukan rondaan secara berkala.

"Ini boleh memberikan tindakan awal jika berlaku kemalangan kerana kebelakangan ini kenderaan semakin banyak dan keadaan jalan sesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:20 PM