POLIS IPD Sepang mengadakan pemantauan dan advokasi kepada pengguna e-skuter. FOTO ihsan Polis
POLIS IPD Sepang mengadakan pemantauan dan advokasi kepada pengguna e-skuter. FOTO ihsan Polis
Samadi Ahmad


Putrajaya: 'Haram' menggunakan skuter elektrik (e-skuter) di atas jalan raya atau pemiliknya bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima aduan dari orang ramai berhubung aktiviti menunggang e-skuter yang aktif di sekitar Cyberjaya.

Menurutnya, susulan aduan itu bahagian trafik turun padang meninjau aktiviti itu yang diadakan di kawasan Taman Tasik Perdana Cyberjaya.

Katanya, terdapat pengguna melakukan aktiviti itu di jalan raya utama di kawasan berkenaan dan membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.

"Pada peringkat awal ini polis memberikan nasihat kepada pengguna. Namun sekiranya berulang, tindakan akan diambil," katanya tadi.

Wan Kamarul berkata, pada masa sama pihaknya turut mengadakan operasi terhadap kenderaan lain dan mengeluarkan sebanyak 16 saman POL 170 A kepada kenderaan yang mengabaikan isyarat lalu lintas di kawasan Persiaran tasik Cyberjaya.

Menurutnya, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti e-skuter di jalan raya sehingga mengabaikan keselamatan dan boleh mengundang masalah.

"Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya aktiviti ini masih diteruskan di jalan raya, "katanya.

Sebelum ini JSPT Bukit Aman mengeluarkan arahan penggunaan e-skuter di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan adalah dilarang dan tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.

Penggunaanya hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 2:02 PM