GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Amani Nawi

Kuala Lumpur: 'Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata...buruk padahnya.'

Begitulah bunyi peribahasa Melayu yang sangat mementingkan tutur kata dan adab sopan dalam perbualan harian. Sopan santun dalam budaya masyarakat Melayu tidak terhad kepada kesantunan tingkah laku, bahkan ia meliputi kesopanan bahasa yang mencerminkan akal budi seseorang manusia.

Walaupun peribahasa ini masih diguna pakai secara turun-temurun hingga hari ini, penghayatan terhadap makna tersirat dilihat semakin pudar dalam masyarakat zaman kini. Malah, penggunaan pelbagai aplikasi teknologi termasuk media sosial sebagai platform komunikasi harian membuka lagi ruang dan kuasa kepada individu untuk melemparkan apa saja kata-kata yang dia inginkan.

Buktinya, seorang personaliti media sosial disaman baru-baru ini gara-gara 'terlepas cakap' sehingga memalukan seorang pengikutnya. Kes yang tular di media sosial ini bukanlah kes pertama terjadi dalam kalangan rakyat Malaysia, malah terdapat pelbagai kes seumpamanya yang tidak mendapat perhatian umum.

Adab sopan bukan sesuatu yang baharu dalam Islam. Malah, perintah mengamalkan kesopanan dalam berbicara dan tutur kata harian sudah dijelaskan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya, al-Quran menerusi Surah al-Isra' ayat 23 yang bermaksud: "Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

Jelaslah dalam ayat ini Allah mengajar kita supaya menggunakan perkataan yang baik lagi mulia apabila berkomunikasi sesama manusia.

Perkataan yang mulia atau qaulan karima dalam ayat itu menunjukkan Islam bukan saja menitikberatkan pemilihan perkataan yang ingin digunakan ketika berbicara, malah ia turut meletakkan satu prinsip yang lebih utama iaitu penghormatan. Ini bermakna, konsep komunikasi dalam Islam bukan hanya berbicara dengan kata-kata yang baik dan lemah lembut, bahkan yang lebih penting adalah memperlakukan orang lain dengan penuh rasa hormat.

Menjaga tingkah laku, menunjukkan bahasa badan yang sesuai, melihat kepada posisi orang yang kita ingin berbicara dengannya, semua ini termasuk dalam prinsip komunikasi yang diajarkan oleh Islam kepada umatnya.

Oleh yang demikian, individu yang sering menggunakan kata-kata cacian atau makian dalam perbualan bukanlah orang yang patut dicontohi kerana perbuatan itu tidak menunjukkan akhlak Islam yang sebenar.

Rasulullah SAW adalah contoh manusia terbaik sepanjang zaman. Baginda bukan saja memberikan teladan yang baik dari segi sikap atau perbuatan (fi'il), tetapi juga dalam pertuturan (qaul).

Hal ini dapat dibuktikan dengan apa yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah, isteri Nabi SAW apabila ditanya mengenai akhlak Rasulullah, beliau menjawab akhlak baginda ialah al-Quran.

Dalam konteks qaul, Rasulullah SAW orang yang paling berlemah lembut apabila berbicara. Baginda suka menggunakan kata-kata yang menyenangkan hati orang yang mendengar. Selain itu, ayat yang ringkas, tetapi penuh makna dan mudah difahami menjadi pilihan baginda ketika menyampaikan sesuatu maklumat.

Jika ditelusuri sejarah kehidupan Rasulullah SAW, baginda ialah orang paling banyak menerima cacian daripada orang yang tidak mahu menerima Islam. Baginda dihina dan dituduh sebagai gila, ahli sihir dan pelbagai tuduhan palsu.

Bukan setakat itu, malah seorang lelaki Badwi pernah menarik selendang baginda sehingga tercekik, namun baginda tetap bersabar, tidak pula membalas dengan perbuatan atau kata-kata nista.

Walaupun Nabi SAW tidak bersetuju atau membenci perbuatan seseorang, baginda tidak pernah menggunakan kata-kata mengguris hati. Jauh sekali baginda menggunakan kata-kata kesat atau mencerca sikap dan peribadi sahabat. Keindahan akhlak baginda SAW tiada tolok bandingnya.

Penggunaan media sosial sebagai medium mempromosikan perniagaan sudah dianggap fenomena biasa dalam kalangan usahawan pada zaman ini. Dengan kemudahan platform pengiklanan digital, aktiviti urus niaga dan proses pemasaran menjadi lebih mudah dan efektif.

Pelbagai strategi digunakan oleh penjual untuk menarik perhatian masyarakat kepada produk yang dikeluarkan. Antaranya, penjual atau pengeluar iklan dapat mempelbagaikan teknik dan bentuk kandungan sama ada secara komunikasi live, bertulis, bergambar atau sebagainya.

Namun begitu, perlu diingatkan bahawa dalam keghairahan mempromosikan barang jualan, syariat Islam tidak boleh diketepikan.

Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia sudah menggariskan panduan asas dalam urusan urus niaga termasuk etika pemasaran, yang selari dengan prinsip dan tuntutan syariat Islam. Antaranya ialah sebarang bentuk pengiklanan perlu sah dan disampaikan dengan sopan, jujur serta benar.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa, ayat 9: "Oleh itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)."

Isu seperti mengeluarkan iklan palsu, menggunakan bahasa lucah, sindiran atau menjatuhkan individu, kenyataan yang keterlaluan, pendedahan aurat dalam gambar iklan antara cabaran yang dihadapi masyarakat hari ini.

Permasalahan ini tidak akan timbul sekiranya setiap individu memainkan peranan menjadikan syariat Islam sebagai tunjang dan garis panduan dalam kehidupan termasuk dalam industri pengiklanan.

Kesimpulannya, marilah kita mengamalkan rukun negara kita yang ke-5, 'Kesopanan dan Kesusilaan' agar ia terus mendarah daging dalam tubuh dan jiwa kita sebagai rakyat Malaysia, khususnya sebagai umat Islam yang sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam yang mulia.

Penulis pensyarah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 5:54 PM