Elly Mazlein
Elly Mazlein
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein menyeru mereka yang ingin memasarkan produk di platform media sosial miliknya supaya menggunakan kandungan yang sesuai dan tidak sensitif.

Elly yang mesra disapa sebagai Kak Lina berkata, pemilik atau pengasas produk itu perlu bersikap lebih sensitif tanpa menggunakan strategi pemasaran yang keterlaluan.

"Nak cakap sikit. Sakit hati betul aku. Sesiapa yang nak jual produk, jual betul-betullah. Pemasaran elok-eloklah sikit. Ini bagi video goyang-goyang buah dadalah, wanita bertudung joget-joget bergegar-gegar apa benda?" tulisnya. 

Elly menerusi hantaran di Instagram berkata, dia juga menyelar tindakan sebegitu yang dianggap sebagai tidak bermaruah. 

"Maruah pergi mana? Tak tahu malukah? Jangan bagi aku iklan 'bingai' macam ini ya. Memalukan! Booooo!" tulisnya. 

Elly antara selebriti yang aktif membuat ulasan produk di Instagramnya dan mengiklankan beberapa produk termasuklah produk kesihatan untuk wanita. 

Sejak akhir-akhir ini, ramai pempengaruh media sosial menggunakan Instagram sebagai platform untuk mempromosikan pelbagai produk dengan iklan yang dilihat kurang sensitif dan tidak sesuai untuk tontonan umum. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 11:19 AM