Dian Lee (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kotak makanan kepada Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin
Dian Lee (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kotak makanan kepada Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin
Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Menghargai pengorbanan anggota beruniform yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini, inisiatif Bantu-Bantu Malaysia tampil menyumbang 200,000 pelitup muka dan 200 kotak keperluan asas.

Pengasas Bersama Bantu-Bantu Malaysia, Datin Dian Lee Cheng Ling berkata, sumbangan dibuat kepada anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di daerah ini.

"Pelitup muka juga akan diagihkan kepada masyarakat terutama yang pulang ke kampung supaya mereka terus melindungi diri walaupun diberikan kelonggaran.

"Sumbangan kepada anggota beruniform ini juga sebagai menghargai pengorbanan mereka terutama di musim perayaan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan 100,000 pelitup muka dan 100 kotak berisi keperluan asas kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Batu Pahat hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah APM Johor Leftenan Kolonel (PA) Rohaizat Hadi.

Menurut Dian, polis dan anggota APM biasanya terus bertugas ketika musim perayaan untuk keselamatan rakyat dan mereka terpaksa melupakan hasrat pulang ke kampung.

"Keluarga mereka juga melakukan pengorbanan anggota terbabit bertugas demi negara pada musim perayaan," katanya.

Terdahulu, Dian menyerahkan sumbangan sama kepada Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

"Sumbangan kotak berisi keperluan asas itu akan diagihkan kepada anggota berpangkat rendah dan balu kepada anggota polis," katanya tidak ketinggalan 16 anak yatim turut menerima sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 12:50 PM