Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, bulan depan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan makanan termasuk minyak masak dan ayam mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di semua peringkat bagi memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Katanya, beberapa langkah proaktif turut dilakukan bagi memastikan bekalan mampu menampung keperluan pengguna sepanjang musim perayaan termasuk pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

"Ini antara usaha dilakukan untuk memastikan bekalan mencukupi dan pada masa sama, kita mahu memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk menaikkan atau memanipulasikan harga ketika musim perayaan dan sebagainya.

"Sekiranya terdapat kekurangan bekalan di pasaran, orang ramai boleh melakukan aduan kepada pihak berkuasa dan tindakan susulan akan dibuat," katanya ketika ditemui di pejabat KPDNHEP Terengganu, di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, seramai 117 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga digerakkan untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh Terengganu.

Katanya, pemantauan dilakukan setiap masa bagi memastikan peniaga patuh dengan skim ditetapkan selain pada masa sama melindungi hak pengguna.

KPDNHEP membuat pemantauan harga barangan seperti sayur dan ikan ketika tinjauan di Pasar Payang. FOTO Ghazali Kori
KPDNHEP membuat pemantauan harga barangan seperti sayur dan ikan ketika tinjauan di Pasar Payang. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 4:14 PM