GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membolehkan solat sunat Aidilfitri dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda menzahirkan titah perkenan berkenaan selepas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

"Berlandaskan sembah nasihat MKN, JKN dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, baginda bertitah perkenan membolehkan solat sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan.

"Dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan balai polis atau pondok polis terdekat," katanya.

Mohd Annuar berkata, baginda turut bertitah membolehkan aktiviti takbir Aidilfitri diadakan dari rumah ke rumah.

"Baginda bertitah membolehkan hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet serta membolehkan aktiviti ziarah kubur," katanya.

Beliau berkata, selain itu, baginda bertitah bermula solat Maghrib pada Khamis ini dibolehkan hidangan jamuan secara terbuka atau bufet diadakan di masjid dan surau.

"Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera," katanya.

Katanya, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 9:57 AM