MUHD Adam Danish. FOTO ihsan keluarga
MUHD Adam Danish. FOTO ihsan keluarga
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: "Muhd Adam Danish adalah anak sulung yang bertanggungjawab dan sebelum kejadian, dia sempat mengambil saya dari tempat berniaga dan hantar pulang ke rumah," kata Lily Nor Ilyana Abdullah.

Lily Nor Ilyana, 40, berkata, dia tidak menyangka Muhd Adam Danish Mohd Fairu, 16, yang meninggal dunia pada kemalangan jalan raya di Taman Kota Masai, jam 10.30 malam tadi dilabelkan sebagai mat rempit biarpun arwah tidak pernah terjebak dalam aktiviti seumpama itu sebelum ini.

Menurutnya, ketika kejadian, Muhd Adam Danish dalam perjalanan daripada kedai ke kediaman rakannya di kawasan perumahan Taman Kota Masai.

Katanya, anaknya itu menunggang motosikal Honda EX5 dan dibonceng rakannya dikenali sebagai Khairul.

"Tidak disangka Muhd Adam Danish dan Khairul menjadi mangsa apabila motosikal dinaiki dirempuh motosikal lain dipercayai ditunggang remaja yang terbabit dalam lumba haram.

"Saya terkejut menerima panggilan berkaitan kejadian dan tidak menjangka anak saya dan Khairul meninggal dunia.

"Mereka adalah sahabat baik dan kedua-duanya tiada kaitan dengan kumpulan remaja yang terbabit lumba haram," katanya.

Lily Nor Ilyana berkata, sebelum meninggalkan kediaman, arwah tidak menunjukkan perubahan ketara namun berkali-kali mencium adik bongsunya yang berusia tujuh tahun.

Menurutnya, dia terkilan dengan kejadian menimpa anaknya yang tidak berpeluang menyambut Aidilfitri.

"Saya sebak memikirkan hasrat saya untuk membelikan baju baharu buatnya tidak kesampaian.

"Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, kami dapat menunaikan keinginan arwah untuk pulang ke kampung. Ini kerana, jenazahnya akan dikebumikan di kampung halaman kami di Pengkalan Chepa, Kelantan selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya.

Lily Nor Ilyana berkata, arwah adalah penuntut tahun pertama di pusat latihan kemahiran GiatMARA di Pasir Gudang.

"Kami sekeluarga reda dengan kejadian dan akan tabah dengan dugaan daripada Allah SWT," katanya dihubungi.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 1:39 PM